
KEKECEWAAN penyokong dan jentera UMNO di beberapa kawasan susulan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim berkata, keadaan itu jelas dapat dilihat di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini ditandingi BN, namun diserahkan kepada PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
“Apabila pembahagian kerusi itu dimuktamadkan pada saat-saat akhir, sudah tentu ada dalam kalangan penyokong dan jentera yang berasa kecewa. Malah, ada yang bertindak menutup bilik gerakan kerana sukar menerima keputusan tersebut,” katanya dalam program Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata, antara kawasan yang paling terkesan ialah Gemas apabila ramai penyokong dan jentera UMNO meluahkan rasa dukacita susulan keputusan BN tidak bertanding di kerusi itu.
“Ada yang cakap pada saya ‘sepanjang kami berpolitik, tidak pernah lagi bendera dacing tidak berkibar di Gemas dalam mana-mana pilihan raya’. Tetapi tahun ini, bendera itu tidak ada kerana kerusi itu ditandingi calon daripada Parti Wawasan,” katanya.
Mohd Yusri berkata, pemerhatian yang dibuat sepanjang hampir seminggu tempoh berkempen sejak hari penamaan calon pada 18 Julai lalu mendapati beberapa sentimen akar umbi mula terserlah.
Katanya, antara yang paling ketara ialah perbezaan tahap kerjasama antara jentera PN dan BN di beberapa kawasan yang ditandingi kedua-dua gabungan.
“Kita dapati komitmen penuh daripada PN kepada BN, tetapi agak terhad daripada BN kepada PN,” katanya.
Beliau berkata, faktor tersebut berlaku bukan akibat perbezaaan ideologi namun disebabkan oleh kekecewaan jentera UMNO yang telah membuat persiapan di kerusi-kerusi tersebut sejak PRN 2023.
Pada 16 Julai lalu, PN mengumumkan senarai 11 calon yang akan bertanding padaPRN Negeri Sembilan, sekali gus mengesahkan kerjasama pilihan raya dengan BN bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH).
Pengumuman itu dibuat sehari selepas BN mengumumkan 25 calon yang akan bertanding, manakala baki 11 kerusi tidak diumumkan oleh gabungan tersebut.
Di DUN Klawang, Danni Rais (Parti Wawasan) akan berdepan Datuk Bakri Sawir, manakala di Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa (Pas) menentang Yaacob Mahmood manakala di Lobak pula, Dr P. Kumar (Pas) akan bertanding menentang Chew Seh Yong.
Bagi DUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah (Parti Wawasan) akan berdepan Nor Azman Mohamad, manakala di Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek (Pas) menentang Datuk Muhammad Nazri Kassim.
Di Bukit Kepayang, Lee Boon Shian (Gerakan) akan bertanding menentang Nicole Tan Lee Koon (PH)
Sementara itu, di DUN Mambau, Erik Michael (Parti Wawasan) akan berdepan Yap Yew Weng, diikuti Paroi yang menyaksikan Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Pas) menentang K. Gunasekaran.
Di Lukut, Sathes Kumar Nilameham (MIPP) akan mencabar Choo Ken Hwa.
Baki dua kerusi ialah Bagan Pinang yang menyaksikan Abdul Fatah Zakaria (PAS) berdepan Ravi Munusamy, manakala di Gemas, Ridzuan Ahmad (Parti Wawasan) akan menentang P. Gunasekaren.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan.






