MCMC, polis diarah siasat dakwaan hina Nabi Muhammad SAW di Threads – Fahmi

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah menyiasat dakwaan membabitkan akaun media sosial palsu yang dipercayai memuat naik kandungan menghina Nabi Muhammad SAW.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, setakat ini beliau belum menerima maklumat yang mencukupi untuk mengesahkan sama ada dakwaan berkenaan adalah benar atau sebaliknya.

“Saya akan semak dengan PDRM dan juga MCMC mengenai status perkara itu. Kebiasaannya, apabila aduan dibuat, individu yang dipercayai terbabit akan dipanggil untuk disiasat bagi tujuan pengesahan.

“Pihak MCMC bertindak sebagai agensi teknikal dengan mendapatkan maklumat daripada platform media sosial yang terbabit serta melakukan analisa forensik sebelum dapat mengesahkan sama ada sesuatu peranti itu ada digunakan untuk memuat naik kandungan pada tarikh berkenaan. Saya juga meminta supaya MCMC mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serahan Projek Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini tular dalam aplikasi Threads dakwaan bahawa satu akaun media sosial memuat naik kandungan yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

Bagaimanapun, pengguna media sosial itu di Facebook menafikan akaun berkenaan miliknya serta mendakwa terdapat individu lain menggunakan nama dan gambarnya serta memuat naik status berkenaan.

Justeru, pengguna media sosial berkenaan membuat laporan polis dan kes terbabit sudah dirujuk kepada MCMC.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img