Akibat cuba elak haiwan, kereta terjunam ke dalam sungai

SEORANG lelaki yang mendakwa cuba mengelak haiwan gagal mengawal kenderaan dipandunya sebelum terjunam ke Sungai Langat berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat di Kajang malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 56 tahun dalam perjalanan dari Sungai Congkak menghala ke Nilai sebelum terlibat dalam nahas tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.13 malam.

“Ketika melalui Jalan Hulu Langat, mangsa mendakwa terlihat satu objek dipercayai haiwan melintas dari arah kiri ke kanan jalan.

“Tindakannya mengelak objek tersebut menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam Sungai Langat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar dari kenderaan itu.

Menurut Naazron, insiden itu hanya mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan tidak melibatkan kemalangan dengan kenderaan lain atau kerosakan harta benda awam.

Beliau dalam pada itu berkata, susulan dua kejadian seumpama itu dilaporkan di kawasan berkenaan, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika melalui laluan tersebut.

“Jika terlihat haiwan atau sebarang halangan di atas jalan, pemandu hendaklah memperlahankan kenderaan secara berperingkat dan mengelakkan tindakan mengelak secara mengejut kerana ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img