SAMBUTAN penyertaan seramai 3,075 anggota baharu, majoritinya daripada Generasi Z (Gen Z), mendorong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganjurkan Jelajah Angkatan Muda Keadilan (AMK) Gen Z di seluruh negara.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jelajah berkenaan bertujuan mendekati golongan muda yang berminat menyertai perjuangan reformasi selain mengukuhkan sokongan dalam kalangan generasi baharu.
Beliau berkata, jumlah penyertaan itu adalah perkembangan yang amat menggalakkan dan menjadi pencetus kepada keputusan parti untuk memperluaskan pendekatan menerusi jelajah ke seluruh negara.
“Ini merupakan satu perkembangan yang amat merangsangkan. Jumlah penyertaan yang ramai pada satu-satu masa ini adalah sesuatu yang agak luar biasa dan kita mengambilnya sebagai titik tolak untuk menjelajah ke seluruh negara.
“Ia bukan berkait rapat dengan PRN atau PRU, sebaliknya memang program berkala yang kita jalankan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Generasi Muda, Suara Baharu bertemakan ‘Bersama Anak Muda Untuk Semua’ di Petaling Jaya hari ini.
Fahmi menjelaskan, penganjuran jelajah itu tidak mempunyai kaitan khusus dengan mana-mana pilihan raya, sebaliknya adalah sebahagian daripada aktiviti berkala parti.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan terus memberi komitmen dalam menangani isu tempatan dan kebajikan rakyat menerusi penyaluran peruntukan khusus bagi Parlimen Petaling Jaya dan Subang.
Menurutnya, Parlimen Petaling Jaya menerima RM3 juta, manakala Parlimen Subang RM1.5 juta untuk pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) serta menyokong keperluan badan bukan kerajaan (NGO).
“Jadi ia akan disalurkan terus kepada rakyat berdasarkan permohonan yang dibuat dan mekanisme itu akan diperhalusi.
“Penyelarasan peruntukan bagi kedua-dua Parlimen ini akan dibuat menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, iaitu melalui ICU Selangor dan ICU Pusat bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar,” katanya.






