TINDAKAN sindiket penyeludupan cuba mengelirukan anggota penguat kuasa dengan mengikrar kontena dibawa sebagai kanvas plastik tidak berhasil apabila pemeriksaan rapi menemukan 815 kotak besar mengandungi 8.15 juta batang rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM9.14 juta termasuk cukai.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Hasbollah Din berkata, kejayaan itu hasil serbuan Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri di sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada jam 11.15 pagi 24 Jun lalu.
Menurutnya, berlaku kekeliruan dalam borang manifes yang diikrar yang mana ia adalah cubaan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Modus operandi sindiket itu adalah membuat pengikraran tidak betul iaitu sebagai kanvas plastik tetapi sebenarnya bermuatan rokok.
“Kesemua rokok berkenaan dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam negeri di Perai, Butterworth hari ini.
Menurut Hasbollah, siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan dan syarikat logistik yang mempunyai cawangan di sekitar Subang Jaya, Selangor.
“Melalui dokumen yang diperolehi, dagangan disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Tenggara. Kita sudah memanggil pengurus syarikat perkapalan iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 50-an bagi membantu siasatan,” katanya.
Ujar beliau, kes dan rampasan ini disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan lain, Hasbollah berkata, pihaknya turut menahan seorang pemandu lori bersama kelindan masing-masing lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an di laluan susur keluar tol Bukit Tambun menghala utara pada jam 2.15 petang, 29 Mei lalu.
“Ini selepas pemeriksaan pasukan telah menemukan sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang tak berkastam dalam muatan lori itu.
“Semua minuman keras sebanyak 5,904.48 liter bersama lori yang dianggarkan bernilai RM237,244.40 dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya yang memaklumkan minuman keras itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
Kes ini kata beliau disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.






