Dua lelaki ditahan langgar kereta peronda polis, kenderaan awam

POLIS menahan dua lelaki yang menaiki kenderaan dan melanggar sebuah kereta peronda polis dan dua kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Petaling Jaya tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku jam 11.57 malam apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina enggan berhenti untuk pemeriksaan di Persiaran Dagang, Sri Damansara.

Menurutnya, kenderaan itu sebaliknya terus dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan hingga dikesan di Jalan Sungai Pusu, Gombak dan ketika cuba ditahan, pemandu bertindak mengundurkan MPV itu sebelum melanggar kereta peronda polis.

Beliau berkata, MPV berkenaan kemudian melanggar dua kenderaan awam yang diparkir di tepi jalan ketika cuba meloloskan daripada polis.

“Polis kemudian menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an, masing-masing pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, kedua-dua suspek adalah rakan dengan motif mereka melarikan diri masih dalam siasatan, manakala ujian saringan air kencing dua lelaki itu masih dalam proses.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 23 rekod dadah, empat rekod jenayah dan satu rekod dikehendaki, manakala suspek kedua mempunyai lapan rekod dadah, 10 rekod jenayah dan enam rekod lain-lain kesalahan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu, katanya.

Shamsudin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

Beliau turut meminta mereka yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img