SEORANG bayi lelaki empat bulan antara tiga yang diselamatkan selepas terperangkap di rumah dalam kejadian banjir kilat akibat hujan lebat sejak awal pagi ini di Kampung Lereh, Tanjung Kling, Melaka hari ini.
Tiga mangsa yang diselamatkan itu terdiri daripada seorang lelaki berusia 37 tahun, wanita berusia 36 tahun dan bayi lelaki mereka.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu menerima panggilan kecemasan pada jam 9.47 pagi berhubung kejadian menyelamat mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pasukan keluaran operasi (PKO) yang tiba di lokasi pada jam 9.54 pagi mendapati tiga mangsa terperangkap di dalam rumah yang dilanda banjir.
“Kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat sebelum tindakan seterusnya diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Jentera bersama anggota bertolak balik ke balai selepas operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.36 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafidzatullah berkata, operasi menyelamat membabitkan tujuh anggota iaitu lima anggota bersama jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan dua anggota bersama Unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS), selain turut membantu operasi adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, berdasarkan laporan awal bencana negeri Melaka, hujan lebat bermula kira-kira jam 1 pagi menyebabkan beberapa kawasan tumpuan (hotspot) dinaiki air membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pengkalan Batu dan Kesidang.
Menurutnya, kawasan terjejas bagi DUN Pengkalan Batu membabitkan Peringgit, manakala DUN Kesidang membabitkan Kampung Kolam Limbongan dan Tengkera.
“Setakat jam 10 pagi, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan tiada keluarga atau mangsa dipindahkan.
“Pemantauan di kawasan terjejas masih dijalankan semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Melaka,” katanya.






