Lelaki Bangladesh didakwa tawar rasuah RM750 kepada pegawai polis marin

SEORANG operator kilang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Johor Bahru semalam atas pertuduhan menawarkan dan memberikan rasuah RM750 kepada seorang pegawai polis marin.

Tertuduh, Shamim, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 21 Oktober lalu sebagai dorongan supaya Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap rakannya yang disyaki memiliki minuman keras tidak bercukai.

Kesalahan itu berkaitan pemilikan minuman keras tidak bercukai mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pertuduhan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 secara cagaran wang tunai dengan seorang penjamin warga Malaysia yang juga majikannya.

Tertuduh turut diperintahkan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tertuduh menjelaskan wang jaminan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Penguasa Kanan Alice Voon manakala tertuduh diwakili peguam Nur Helmi A Halim daripada firma guaman Helmi Halim & Co.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here