Lebih 28,000 lesen perniagaan dibatalkan, warga asing berniaga haram jadi sasaran KPKT

SEBANYAK 28,401 lesen perniagaan dibatalkan dalam tempoh tiga tahun menerusi tindakan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan warga asing menjalankan perniagaan secara haram di premis tempatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 10,248 operasi bersepadu dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan syarat pelesenan selain melindungi kepentingan peniaga tempatan.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat.

Menurutnya, operasi itu dijalankan dengan kerjasama agensi strategik termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Hasil operasi berkenaan, tambah beliau, sebanyak 100,366 tindakan penguatkuasaan direkodkan, merangkumi 65,023 kompaun, 28,401 pembatalan lesen perniagaan serta 6,942 tindakan sitaan dan perobohan premis.

Kor Ming menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan berkompromi dengan pemegang lesen tempatan yang melanggar syarat pelesenan, termasuk menyewakan premis kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan secara haram melalui amalan ‘Ali Baba’.

“Kami akan terus komited dalam mempertahankan hak peniaga tempatan dan memastikan peluang perniagaan yang disediakan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, KPKT turut mempergiat usaha menyediakan kemudahan perniagaan lebih baik kepada usahawan tempatan menerusi pembinaan Gerai MADANI dan kerja menaik taraf pasar awam yang uzur.

Kor Ming berkata, melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), sebanyak 107 projek pembinaan Gerai MADANI dan naik taraf pasar awam dilaksanakan pada 2026 dengan peruntukan RM60 juta.

Katanya, usaha itu akan diteruskan pada 2027 dengan peruntukan RM120 juta bagi menyediakan kemudahan perniagaan dan pasar awam yang lebih selamat, bersih serta selesa untuk peniaga dan pengunjung.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here