Pesalah buang sampah dikenakan denda RM467,140, khidmat masyarakat 3,638 jam

SEBANYAK RM467,140 denda dikutip manakala 3,638 jam hukuman khidmat masyarakat dijatuhkan terhadap individu yang disabitkan kesalahan membuang sampah kecil merata-rata dari Januari hingga September tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 8,960 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di tujuh negeri dalam tempoh berkenaan, menghasilkan 17,145 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK).

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat.

Menurutnya, penguatkuasaan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dilaksanakan seiring pendekatan pendidikan sivik bagi memupuk rasa tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan persekitaran.

“Kebersihan mencerminkan ketamadunan. Inilah komitmen KPKT untuk memastikan Malaysia kekal bersih, mampan dan bermaruah.

“Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bertujuan mendidik pesalah supaya memahami bahawa menjaga kebersihan awam ialah tanggungjawab bersama,” katanya.

Kor Ming berkata, KPKT akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027 bagi memastikan persekitaran negara sentiasa bersih, sekali gus memberikan imej positif kepada pelancong.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, KPKT turut menggalakkan penglibatan masyarakat menerusi penganjuran Hari Cuci Malaysia (HCM) bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan awam.

Menurutnya lagi, penganjuran HCM tahun ini turut mencatatkan dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu penyertaan gotong-royong teramai dalam sehari membabitkan 332,429 peserta serta pengumpulan sisa kitar semula terberat dalam sehari sebanyak 89,221.22 kilogram.

Beliau berkata, menerusi Dasar Kebersihan Negara, pengurusan sisa pepejal tidak hanya tertumpu kepada rutin pembersihan awam, sebaliknya turut menekankan perubahan sikap masyarakat.

Katanya, pendidikan komuniti dan ketegasan perundangan menjadi dua tonggak utama bagi menjayakan agenda Reformasi Pembersihan Awam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here