Industri halal Malaysia tarik minat pemimpin dunia untuk jalin kerjasama – PM

MALAYSIA terus mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam industri halal apabila beberapa pemimpin dunia menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan negara ini bagi bidang berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa pemimpin antaranya dari Vietnam, China, Brazil, Afrika Selatan, Peru dan Ethiopia menyatakan Malaysia mencatat prestasi yang baik dalam industri halal.

DATUK Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pengunjung yang menghadiri Program MADANI Kita (PMK) bersempena Penang International Halal Expo 2026 (PIHEX 2026) di Politeknik Seberang Perai hari ini. GAMBAR: Jabatan Perdana Menteri

“Baik Vietnam, baik Presiden China, Presiden Lula Brazil, Presiden Ramaphosa Afrika Selatan, semuanya tanpa kecuali menyatakan Malaysia punyai mencatat prestasi yang baik dalam industri halal dan mereka mahu bekerjasama untuk mendapat pensijilan dan pengiktirafan halal dari Malaysia.

“Ini saya ucapkan tahniah kepada semua, baik Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Majlis Agama Islam, yang dapat mempertahankan prestasi kita yang cemerlang dalam memperkenalkan industri halal,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang Program MADANI Kita di Politeknik Seberang Perai (PSP), di Bukit Mertajam hari ini.

Pada majlis itu, Anwar mengumumkan dana sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan Program Strategi Semikonduktor Bumiputera yang akan dibangunkan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi dan pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, kekuatan Malaysia tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pensijilan halal semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan pembangunan industri halal yang lebih menyeluruh.

“Tapi sekarang ini dalam dua tahun yang lebih itu, saya menekankan kita tidak hanya harus eksport sijil halal.

“Kekuatan kita bukan sahaja pensijilan, tapi mesti ada sinergi di antara sijil dan industri,” katanya.

Beliau mengambil contoh perbincangannya dengan Perdana Menteri Vietnam yang berhasrat mengembangkan industri halal di negara itu serta mendapatkan pensijilan halal Malaysia.

“Dalam perbincangan itu, saya mengatakan bahawa perlu kerajaan Vietnam memerhati strategi untuk bekerjasama dengan industri halal di Malaysia.

“Ini kerana kalau (mereka dapat) pensijilan itu sekali gus harus dipantau dan pemantauan itu lebih berkesan kalau ada kerjasama dengan industri Malaysia, yang boleh bersama dalam mempertahankan kesinambungan atau kelangsungan industri halal,” kata beliau.

Anwar memberitahu, pengiktirafan dunia terhadap Malaysia juga adalah hasil daripada tadbir urus yang baik serta usaha mengelakkan penyelewengan.

“Bila kita urus dengan baik, dan elakkan daripada penyelewengan, tatakelola yang baik, dunia iktiraf kita yang bila dunia iktiraf kita, industri halal di Malaysia boleh berkembang, dan kita mengharapkan ia menjadi kemuncak dan industri halal yang terbaik dan paling cemerlang di dunia.

“Ini cita-cita kita kerana jumpa Presiden Peru tadi, saya sebut Brazil, Presiden Ethiopia semuanya tanpa kecuali. Saya agak tertarik dengan hal ini kerana pertamanya, pensijilan itu mendapat pengiktirafan tinggi.

“Keduanya, syarikat-syarikat, baik Bumiputera atau bukan Bumiputera, bila dapat pensijilan halal, itu diberikan pengiktirafan dan penghormatan,” katanya.

Tambahnya, kerjasama antara syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam industri halal juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan sektor berkenaan terus berkembang dan menjadi antara yang terbaik di dunia.

“Ini saya rasa kolaborasi di antara syarikat-syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera juga harus ditingkatkan di Malaysia ini,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img