SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menjalin kolaborasi strategik dengan Penang Halal International (PHI) buat julung kalinya menerusi penganjuran Program MADANI Kita (PMK) bersempena Penang International Halal Expo 2026 (PIHEX 2026).

Program yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai dari 24 hingga 26 Julai itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

MCMC dalam kenyataan berkata, PMK diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri untuk mengangkat pendekatan whole-of-government dengan menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan secara lebih bersepadu, cekap dan mesra pengguna.

“Penganjuran serentak PMK dan PIHEX 2026 memperluaskan akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat dan usahawan untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta manfaat daripada pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan dan rakan strategik,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, sepanjang program, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, reruai agensi Kerajaan, khidmat komuniti, Pertandingan NADI E-Sukan MADANI Legend serta kemudahan Wi-Fi percuma menerusi NADI On Wheels (NOW).

“Kolaborasi ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan Kerajaan menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
“Inisiatif ini turut menyokong pembangunan ekonomi setempat, memperluaskan keterangkuman digital serta memastikan manfaat agenda Malaysia MADANI dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat,” kata MCMC.






