Zahid arah jawatan utama KEMAS berstatus tetap, tegaskan tiada kaitan dengan PRN

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), memastikan semua jawatan utama dalam jabatan itu berstatus tetap, bertujuan bagi memperkukuh skim perkhidmatan serta menjaga kebajikan warganya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata usaha itu juga perlu merangkumi penambahbaikan kepada skim perkhidmatan guru KEMAS, termasuk penawaran gaji dan elaun yang lebih menarik.

Beliau berkata, permintaan dibuatnya itu juga tidak ada kena mengena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebaliknya sebagai usaha menghargai komitmen guru serta tenaga kerja KEMAS yang banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah KEMAS (Datuk Mohd Hanafiah Man) mengambil kepedulian terhadap skim perkhidmatan baharu kepada seluruh guru KEMAS, dengan gaji dan elaun yang lebih menarik.

“Selama ini skim perkhidmatan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), meletakkan KEMAS berada dalam jawatan kontrak. Saya juga arahkan Ketua Pengarah KEMAS supaya semua jawatan utama di dalam KEMAS dijadikan sebagai jawatan tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kemahiran KEMAS dan Program Alpha Gen&Talent@KEMAS Peringkat Negeri Sembilan yang turut dihadiri Hanafiah, di Kuala Pilah  hari ini.

Ahmad Zahid turut menyifatkan KEMAS sebagai antara jabatan di bawah kementeriannya yang paling aktif mendekati masyarakat, serta terus membuktikan keupayaannya dalam pembangunan modal insan sejak lebih enam dekad penubuhannya.

Beliau berkata pengiktirafan antarabangsa yang diterima KEMAS menerusi pendidikan awal kanak-kanak, membuktikan komitmen tinggi guru serta warga kerjanya, meskipun berdepan pelbagai kekangan.

Ahmad Zahid berkata meskipun mungkin terdapat kelas KEMAS yang serba sederhana dari segi kemudahan, namun komitmen yang ditunjukkan para guru dan tenaga kerja KEMAS membuktikan agensi itu mampu mencapai kemajuan serta mendapat pengiktirafan pada peringkat dunia.

“Nampak saja kelas KEMAS ini kecil, ada yang daif keadaannya, nampak juga guru-guru KEMAS yang seolah-olah tidak ada kepedulian, tetapi komitmen yang diperlihatkan oleh guru-guru KEMAS dan tenaga KEMAS, mendapat pengiktirafan dunia sebagai petanda kita boleh maju lagi ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata penganjuran program hari ini menunjukkan keprihatinan KEMAS bukan sahaja terhadap pelajar dan guru, malah turut melibatkan ibu bapa serta masyarakat setempat.

“Ertinya selama enam dekad KEMAS berada di persada masyarakat, ia telah memperlihatkan bahawa jangan pernah pandang rendah kepada kemampuan KEMAS di seluruh negara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img