JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menyelamatkan lima pendaki termasuk seorang lelaki yang dilaporkan tersesat ketika mendaki Bukit Saga di Ampang hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.15 petang.
Menurut beliau, sebaik sahaja dimaklumkan pihaknya menggerakkan sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah untuk bantuan segera.
“Mangsa terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia antara 34 hingga 46 tahun. Kesemua mangsa itu dilaporkan tersesat ketika mendaki bukit berkenaan.
“Anggota bertugas kemudian menjalankan operasi sebelum berjaya menemukan kesemua mangsa pada jam 3.55 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dan mereka juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Anggota kemudian membawa kesemua mangsa turun. Operasi itu membabitkan enam anggota dan sebuah jentera,” katanya.






