MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis terhadap mana-mana pihak yang memanipulasi kenyataan beliau berhubung isu yang dibangkitkan dalam Ceramah Umum Perdana PN-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Negeri Sembilan, Khamis lalu.
Beliau berkata, pihak terlibat sengaja memutar belit kenyataannya dengan mengambil sebahagian daripada ucapan sebelum menokok tambah kandungan bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap dirinya demi kepentingan politik.
“Sesiapa yang cuba memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman. Saya akan buat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang untuk perbetulkan perjalanan. Jangan cuba memesongkan fakta.
“Saya ada tengok video, kata ada orang buat laporan polis. Saya pun akan buat laporan polis balas kerana dia memesongkan apa yang saya cakap. Saya cakap benda lain, dia kata benda lain. Dia kata saya kata, saya tak kata apa yang dia kata saya kata,” katanya lapor Kedah Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kebajikan Haiwan dan Himpunan Lembu Sado Malaya 2026 di Taman Jubli Emas, di Alor Setar, hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu memaklumkan, beliau tidak mengenali individu yang menyebarkan video berkenaan dan menyifatkan tindakan itu sebagai usaha mencari publisiti murahan.
“Saya tak kenal orang itu pun. Mereka tak popular. Cari populariti atas video macam itu. Cakap benda yang betul sudahlah. Selagi kita betul, kita tak perlu takut. Yang takut ini sebab dia tak betul. Dia gelisah, resah, takut kalah macam-macam,” katanya.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN tegaskan, ucapannya sebelum ini disampaikan secara jelas dan berfakta, namun sengaja dipotong serta ditafsir mengikut kehendak pihak tertentu bagi memburukkan imejnya.
“Ucapan saya jelas dan berbutir. Sengaja orang nak manipulasi. Dia ambil sekerat, kemudian ulas dan tambah sendiri sebelum dijadikan isu.
“Kalau yang faham Bahasa Melayu, duduk lama di sini, takkan tak faham apa yang saya cakap. Ini sengaja digembar-gemburkan untuk meraih keuntungan politik dan memburukkan saya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat dalam ceramah tersebut hanya menyentuh fakta sejarah yang boleh disemak melalui pelbagai sumber akademik.
“Saya cerita tentang sejarah. Fakta itu boleh disemak dalam mana-mana buku dan rujukan pakar sejarah. Saya sebut fakta sahaja, tak ada yang saya reka. Saja dicetuskan untuk timbulkan ketegangan, bukan saya yang timbulkan ketegangan, mereka itu yang timbulkan ketegangan.
“Sejarah juga tidak pernah menimbulkan ketegangan. Sejarah ialah fakta yang perlu dipelajari untuk mengetahui apa yang berlaku pada masa lalu, memahami keadaan semasa dan merancang masa depan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya merujuk kepada rakaman penuh ceramah berkenaan dan tidak terpengaruh dengan klip video yang telah disunting.
“Jangan spin. Orang boleh tengok video asal ucapan saya dalam ceramah itu. Hujung dunia pun saya pergi kalau saya berada di pihak yang betul,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin DAP menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap ucapan Sanusi ketika Ceramah Umum Perdana PN-BN di DUN Serting pada Khamis lalu.
Dalam ucapan tersebut, beliau antara lain berkata, “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”






