POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bertindak pantas menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri wang tabung di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh (MBBSB) hanya selepas beberapa minit laporan dibuat, semalam.
Pengurus MBBSB, Muhammad Faaez Khesim berkata, pihaknya menghargai tindakan pantas pihak polis yang tiba di tempat kejadian hanya beberapa minit selepas laporan dibuat membolehkan suspek diberkas.
Beliau berkata, lelaki terbabit dipercayai sudah beberapa kali mencuri wang tabung masjid berkenaan selain dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian sama di sekitar kawasan itu.
Katanya, pihak masjid sudah lama mengenal pasti suspek selepas beberapa kejadian kecurian berlaku di kawasan koridor masjid.
“Pihak masjid bekerjasama dengan pihak polis sebab kita sudah lama sasarkan suspek ini kerana dia buat kerja berulang kali dah, di MBBSB sahaja dalam tiga kali yang kami dapat kesan dia curi duit tabung di bahagian koridor.
“Jadi kami sudah kenal pasti kenderaan suspek. Kali pertama dia masuk dia pecahkan tabung sampai tabung itu rosak. Sekarang tinggal satu tabung sahaja kerana agak berat untuk kami bawa masuk ke ruang solat (berkunci),” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Muhammad Faaez berkata, suspek dipercayai menggunakan modus operandi ‘memancing’ wang tabung dengan menggunakan dawai sebelum melarikan wang yang terdapat di dalamnya.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian, suspek biasanya melakukan kegiatan itu antara jam 12.30 tengah malam hingga 3 pagi.
Katanya, lelaki sama dipercayai mencuri wang tabung masjid itu sebanyak dua kali dalam tempoh beberapa hari sekitar awal Julai lalu.
Katanya, selepas menyedari modus operandi suspek terbabit, pihak masjid bekerjasama dengan PDRM untuk memerhatikan gerak geri suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV).
“Selepas dua kali dia pecah masuk kami pun berpakat dengan pihak Balai Polis Sungai Buloh. Kali pertama dan kedua dia masuk selang beberapa hari sahaja kemudian seminggu tidak kelihatan.
“Difahamkan dia mencuri di masjid lain dalam seminggu itu. Tetapi kali ketiga ini nampak sahaja pergerakan mencurigakan terus saya hubungi pihak polis dan maklumkan kepada Ketua Polis Balai.
“Tak sampai beberapa minit, saya rasa dalam dua ke tiga minit sahaja mereka (polis) sampai dan tahan lelaki itu. Kami jawatankuasa masjid mengucapkan syabas dan terima kasih kepada PDRM kerana betul-betul memberikan komitmen,” katanya.






