DATUK Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga enam mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak di Bentong, Pahang awal pagi semalam.
Menerusi hantaran di laman X hari ini, Perdana Menteri berkata, beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut berdukacita atas tragedi berkenaan.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa, moga diberikan kekuatan dan ketabahan manakala yang cedera dikurniakan kesembuhan segera.
“Tragedi ini menjadi peringatan kepada kita semua bahawa keselamatan di jalan raya tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, enam lelaki maut di tempat kejadian selepas Toyota Camry dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan satu tan di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, Bentong.
Mereka yang maut ialah pemandu kereta V. Mugilan, 25, serta rakannya K. Dineshvaran, 22, K. Alaganathan, 21, A. Kanabati Raja, 19, S. Kiisven, 17, dan M. Paranthaman, 16, manakala pemandu lori berusia 31 tahun cedera parah.
Siasatan awal polis mendapati kereta dinaiki mangsa dari arah Kuantan menuju ke arah Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan di lokasi kejadian yang menuruni bukit sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori terbabit.






