POLIS menahan seorang lelaki berusia 28 tahun kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan yang mengorbankan dua remaja perempuan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kejadian melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Padang Tembak, di sini.
Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 6.35 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu suspek hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum melanggar sebuah motosikal, sebuah lagi kereta di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
“Akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta terlibat dan seorang kanak-kanak lelaki dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kok Lian berkata, pemandu kereta berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis benzodiazepine.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei, di talian 013-9126959 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.






