
PERGERAKAN Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas menyatakan komitmen bersama untuk terus memperjuangkan nasib kaum Melayu tanpa sesekali menindas atau mengambil hak masyarakat bukan Melayu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, persefahaman sayap Pemuda kedua parti itu menerima sokongan luar biasa daripada golongan muda, termasuk menerusi siri konvoi bermotosikal membabitkan laluan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota hingga ke DUN Linggi.
“Bila kita bercakap mengenai kepentingan orang Melayu, prinsip kita tidak pernah mengambil apa-apa hak orang lain, malah kita menjaganya lagi.
“Hari ini, suara yang sudah lama tersimpan oleh orang Melayu, terutama di Negeri Sembilan, Insya-Allah kita harap ia akan dizahirkan pada hari pengundian nanti,” katanya kepada pemberita selepas Program Pentas Anak Muda di Dataran Tanjung Agas di Port Dickson malam tadi.

Dr Muhamad Akmal berkata, persefahaman membabitkan sayap Pemuda kedua-dua parti berkenaan bukan sahaja disasarkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka, malah berhasrat diteruskan hingga ke peringkat Persekutuan demi generasi akan datang.
Mengenai gerak kerja kempen, beliau berkata, arahan menyelaraskan jentera Pemuda UMNO bersama Pemuda Pas sudah diturunkan hingga ke peringkat bahagian serta cawangan bagi memastikan jentera beroperasi secara lebih tersusun.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, usaha menyatupadukan kedua-dua parti utama orang Melayu itu sudah lama direncana dan menjadi aspirasi sejak sekian lama.
Katanya, ketiadaan isu peribadi antara kepemimpinan Pemuda Pas dan UMNO membolehkan kedua-dua pihak duduk sepentas bagi mempamerkan satu bentuk ‘politik baharu’ kepada anak muda.
“Berpolitik berasaskan kepada kefahaman, dan asas kefahaman ini ialah penyatuan dengan meletakkan tepi semua kepentingan lain.
“Akar umbi juga mula memahami bahawa asas berpolitik ketika ini adalah untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar iaitu Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
“Ini sudah dibuktikan sebelum ini di Johor (PRN Johor) iaitu ahli Pas berkorban demi kemenangan bersama dan pendekatan sama akan diteruskan di Negeri Sembilan serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya.
Menyentuh mengenai kempen PRN Negeri Sembilan, Dr Muhamad Akmal dan Afnan Hamimi senada memaklumkan malam kemuncak kempen gabungan Pemuda UMNO dan Pas dijadual berlangsung di Ampangan pada Jumaat ini, dengan Pemuda Pas bertindak sebagai tuan rumah.
Sementara itu, kira-kira 500 penunggang motosikal merangkumi gabungan Pemuda UMNO dan Pemuda PAS memeriahkan program ‘Pentas Anak Muda: The Real Linggi’ malam tadi.
Program menampilkan pelbagai pengisian santai membabitkan golongan muda termasuk sesi ramah mesra bersama pimpinan sayap parti sebagai usaha mendekati pengundi muda sepanjang tempoh berkempen.
Penganjuran ‘Pentas Anak Muda: The Real Linggi’ adalah antara siri jelajah bersama Pemuda UMNO dan Pemuda Pas yang digerakkan di beberapa kawasan DUN bagi memperkukuh sokongan persefahaman politik terhadap calon BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan.






