Ambil tindakan tegas terhadap pihak tidak hormati institusi diraja – Aminuddin

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang membuat kenyataan tidak menghormati institusi diraja.

Beliau menegaskan, institusi diraja adalah simbol yang dihormati rakyat tanpa mengira kaum dan agama, serta tidak wajar dijadikan bahan polemik atau diperkotak-katikkan dalam kempen politik oleh mana-mana pihak.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut kesal dengan tindakan pihak tertentu yang membuat kenyataan biadab terhadap institusi diraja Negeri Sembilan, termasuk di media sosial sejak kebelakangan ini.

“Perkara ini perlu diambil tindakan tegas oleh pihak keselamatan dan perlu ditunjukkan dengan segera.

“Kita tidak mahu selepas pilihan raya, baru diambil tindakan kerana ini menjejaskan maruah dan integriti institusi diraja itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan di Lukut, Port Dickson hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Istana Negeri Sembilan hari ini meminta semua parti politik supaya tidak mengaitkan institusi itu dalam ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan, berkata Istana Negeri Sembilan menegaskan institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terbabit dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.

Istana Negeri Sembilan turut menasihatkan semua calon parti yang bertanding mengelak daripada memainkan isu berkaitan agama, kaum dan raja (3R), serta sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri ini.

Sementara itu, Aminuddin membidas tindakan pihak tertentu yang memainkan isu perkauman pada kempen PRN berkenaan.

“Unsur sebegini memang tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Hanya segelintir yang keterlaluan yang merasakan isu ini boleh ditunggang.

“Jadi, mereka menjadikan isu ini sebagai satu tunggangan yang kononnya boleh mengangkat sokongan orang Melayu kepada parti berkenaan,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img