SEORANG bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam ditemukan di pekarangan sebuah masjid di Kuala Besut awal pagi ini.
Orang awam yang menemukan bayi malang berkenaan segera memaklumkan kejadian itu kepada polis kira-kira jam 5.25 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, bayi itu ditinggalkan di pekarangan Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut.
“Susulan maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota polis bergegas ke lokasi untuk membuat siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bayi perempuan berkenaan dijumpai dalam keadaan sihat dan selamat di dalam sebuah beg kain di pekarangan masjid.
“Bayi itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam dan masih bertali pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Rozaime, bayi itu disahkan sihat sebelum dibawa ke Hospital Besut oleh petugas kesihatan untuk pemeriksaan lanjut dan pemantauan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.






