POLIS menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian atau calling centre yang beroperasi di Forest City, Iskandar Puteri selepas menahan sebanyak 335 individu dalam 32 serbuan, kebanyakannya warga China dalam serbuan pada 15 Julai lalu.
Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 309 warga China, 19 warga Indonesia, empat warga Myanmar dan tiga warga tempatan berusia antara 20 hingga 58 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan serentak ke atas 27 unit apartmen dan lima banglo yang dijadikan pusat operasi sindiket berkenaan.
“Operasi ini berjaya melumpuhkan dua sindiket berbeza yang menjalankan kegiatan penipuan dalam talian seperti tawaran pelaburan mata wang kripto dan ‘love scam’ dengan menyasarkan mangsa dari luar negara, khususnya China dan Indonesia.
“Hasil serbuan turut membawa kepada rampasan 313 unit komputer, 1,557 telefon bimbit, 17 komputer riba, 10 modem, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-8 serta pelbagai peralatan lain yang dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.
Menurut Ab Rahaman, sindiket itu menggunakan aplikasi Telegram, WhatsApp dan TikTok bagi mencari mangsa sebelum menawarkan pulangan pelaburan tidak wujud.
“Mereka dipercayai bertindak sebagai ejen pencari pelanggan dan dijanjikan gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM4,000,” katanya.
Ab Rahaman berkata, kumpulan kedua disyaki menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai firma guaman, selain menawarkan pelaburan dan pelaburan mata wang kripto palsu kepada mangsa di luar negara.
Mengulas sama ada sindiket itu mempunyai kaitan dengan isu pusat latihan warga asing yang pernah dibangkitkan di Forest City sebelum ini, beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua perkara itu tidak mempunyai sebarang hubungan.
Beliau berkata, polis percaya dalang utama sindiket masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan termasuk melalui kerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol).






