POLIS akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan pemimpin UMNO Rembau dalam masa terdekat untuk diambil keterangan berhubung kenyataan dikeluarkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sehingga kini pihaknya menerima 11 laporan terhadap pemimpin UMNO Rembau itu, manakala laporan terhadap Muhammad Sanusi masih dalam proses kemas kini.
“Sebaik sahaja pihak polis menerima dua laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Sanusi, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Kita belum mengambil keterangan beliau dan tindakan segera akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang media sejurus membuat tinjauan di Pusat Mengundi Awal Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai hari ini.
Alzafny berkata, pihaknya sudah memanggil beberapa saksi dan merakam percakapan mereka, selain meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi membantu siasatan kes membabitkan pemimpin Pas itu.
Mengulas mengenai kes membabitkan pemimpin UMNO Rembau yang mengaitkan pihak istana Negeri Sembilan dengan parti politik, Alzafny berkata, 11 laporan polis diterima setakat ini.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, selain Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Beberapa keterangan saksi yang tampil membuat laporan polis dan juga saksi tambahan sudah diambil. Kami akan memanggil lelaki ini untuk meneruskan siasatan,” katanya.
Pada Khamis lalu, Muhammad Sanusi dilapor berkata orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu, sedangkan bangsa lain mempunyai negara yang secara sejarah dikaitkan dengan asal-usul kaum masing-masing.
Namun, kenyataan Yang Dipertua Pas Sik pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sempena PRN Negeri Sembilan itu mencetuskan kontroversi apabila ada pihak mengaitkannya sebagai cubaan menafikan kerakyatan bukan Melayu di negara ini.






