DUA kontraktor mengalami kerugian lebih RM100,000 setiap seorang selepas terperdaya tawaran tender tidak wujud.
DI KUANTAN, seorang kontraktor mengalami kerugian RM122,552 akibat jenayah tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata berdasarkan laporan diterima, lelaki berusia 46 tahun itu menerima mesej daripada individu yang mendakwa sebagai kakitangan sebuah politeknik di daerah ini, bulan ini.
Katanya, individu terlibat menawarkan peluang sebut harga bagi pembekalan janakuasa kepada syarikat milik mangsa.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek mengemukakan dokumen surat tawaran (LO) serta memperkenalkan sebuah syarikat pembekal barangan.
“Mangsa kemudiannya membuat beberapa transaksi pembayaran kepada akaun bank yang diberikan suspek membabitkan jumlah keseluruhan berjumlah RM122,552 bagi tujuan pembelian barangan yang kononnya diperlukan untuk melaksanakan tender itu.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas hadir ke politeknik berkenaan untuk mendapatkan pengesahan dan dimaklumkan bahawa tiada sebarang pesanan kerajaan atau tawaran sebut harga dikeluarkan politeknik itu.
“Mangsa kemudiannya gagal menghubungi suspek sebelum tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran tender atau sebut harga yang diterima menerusi aplikasi pesanan ringkas, media sosial atau panggilan telefon.
DI KUALA TERENGGANU, Sindiket penipuan yang menggunakan nama ‘Nik Sahril’ bagi menawarkan tender projek kerajaan sekali lagi memperdaya mangsa apabila seorang kontraktor elektrik mengalami kerugian RM152,550 selepas terpedaya dengan tawaran projek tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 68 tahun membuat laporan polis pada jam 2 petang semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan oleh individu berkenaan.
Katanya, mangsa menerima e-mel pada 14 Julai lalu daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dikenali sebagai ‘Nik Sahril’ dengan menggunakan alamat e-mel nik_sahril@jkt.my.
Menurutnya, individu itu menawarkan projek pemasangan lampu solar di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu.
Beliau berkata, selepas berminat dengan tawaran berkenaan, mangsa menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum diminta menghantar profil syarikat bagi tujuan semakan dan pendaftaran.
“Beberapa hari kemudian, mangsa sekali lagi dihubungi dan ditawarkan projek membekalkan alat jana kuasa kepada KPKT di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azli berkata, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuat dua pembayaran ke akaun syarikat yang berbeza bagi urusan pembekalan sembilan unit alat jana kuasa.
Katanya, pada 22 Julai lalu, mangsa memasukkan wang sebanyak RM50,850 ke akaun sebuah syarikat sebelum membuat pembayaran kedua berjumlah RM101,700 ke akaun syarikat lain pada keesokan harinya.
“Suspek berjanji mangsa akan menerima bayaran projek berjumlah RM252,000 dalam tempoh enam hari.
“Bagaimanapun, mangsa mula curiga selepas mendapatkan nasihat daripada pihak audit yang sering menguruskan urusan syarikatnya sebelum dimaklumkan bahawa tawaran itu dipercayai adalah satu penipuan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian cuba menghubungi suspek, namun gagal sebelum tampil membuat laporan polis.
Katanya, wang yang digunakan bagi membuat pembayaran itu adalah milik syarikat mangsa dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Azli berkata, siasatan awal mendapati kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan satu lagi kes penipuan yang dilaporkan sebelum ini di daerah sama.
Media semalam melaporkan seorang kontraktor kerugian lebih RM50,000 selepas terpedaya dengan tawaran tender tidak wujud daripada individu yang turut memperkenalkan diri sebagai ‘Nik Sahril’ dari KPKT.
“Polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua kes didalangi individu atau sindiket yang sama dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.






