PENDAKWAAN telah menggugurkan kes pengubahan wang haram RM36 juta membabitkan ahli perniagaan Nicky Liow.
Peguam beliau, Rajpal Singh yang mengadakan sidang media bersama Liow menegaskan anak guamnya tidak pernah disabitkan atas sebarang kesalahan dan tidak sepatutnya dianggap sebagai penjenayah, lapor China Press.
Katanya, kes pengubahan wang haram itu tidak mempunyai kaitan dengan penipuan atau sindiket scam seperti didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, beliau berkata kes itu berpunca daripada dakwaan kegagalan Liow mengisytiharkan sepenuhnya cukainya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Rajpal berkata kes berkenaan digugurkan selepas Liow menjelaskan tunggakan cukai berjumlah RM400,000.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila pertuduhan itu digugurkan.
Menurutnya, Liow kini hanya mahu menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa dan memberi amaran supaya tiada pihak memfitnah anak guamnya.
Pada April 2022, Liow didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan keseluruhan RM36 juta.
Adiknya, Wei Kin, turut berdepan pertuduhan mengelak cukai dan pengubahan wang haram, namun dibebaskan pada Julai 2023 selepas membayar RM4.147 juta kepada kerajaan.
Liow pernah bersembunyi selama setahun antara 2021 dan 2022 selepas polis melancarkan operasi terhadap kumpulan yang didakwa dikaitkan dengannya susulan dakwaan terbabit dalam kegiatan ‘Macau scam’.
Ketika masih bersembunyi, beliau didakwa tanpa kehadirannya atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang.
Beliau kemudiannya dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Liow baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas hadir pada sebuah program PKR dan bergambar bersama presidennya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.






