MCMC tumpaskan sindiket Fake BTS, lindungi pengguna daripada penipuan dalam talian

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha melindungi pengguna daripada sindiket penipuan digital apabila berjaya menumpaskan satu lagi sindiket yang menggunakan Stesen Pangkalan Palsu (Fake Base Transceiver Station atau Fake BTS) untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi pautan berunsur penipuan secara haram kepada orang ramai.

Fake BTS adalah peralatan komunikasi tidak standard yang meniru isyarat rangkaian mudah alih bagi membolehkan penghantaran SMS ke telefon pengguna tanpa melalui rangkaian rasmi penyedia perkhidmatan telekomunikasi, sekali gus menjadikan mesej penipuan/penyamaran kelihatan seakan-akan mesej sebenar daripada penghantar.

ALAT peranti yang digunakan sindiket penipuan menggunakan Fake BTS ditemukan dalam sebuah kenderaan di Johor Bahru, baru-baru ini. GAMBAR: MCMC

MCMC dalam kenyataan berkata, dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Johor Bahru pada Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dikesan memandu sebuah kenderaan dilengkapi kelengkapan Fake BTS memancarkan isyarat Radio Frekuensi (RF) yang menyamar sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menghantar SMS penipuan yang mengandungi pautan sesawang bagi memperdaya mangsa.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini dipercayai menyasarkan kawasan tumpuan awam terutama pada waktu puncak bagi memaksimumkan penghantaran SMS penipuan. Setakat pertengahan 2026, MCMC telah melaksanakan lima operasi khas membanteras kegiatan Fake BTS melibatkan dua operasi di Johor dan tiga operasi di Genting Highlands, selain merampas sebanyak empat unit modul GSM yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut serta merakam empat percakapan individu bagi membantu siasatan,” kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

KENDERAAN yang digunakan sindiket penipuan menggunakan Fake BTS dirampas di Johor Bahru, baru-baru ini. GAMBAR: MCMC

Menurut suruhanjaya itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan di bawah Seksyen 239, manakala kesalahan di bawah Peraturan 16 memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC memaklumkan akan terus memperhebat operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras penyalahgunaan spektrum frekuensi radio dan infrastruktur telekomunikasi untuk tujuan penipuan dan jenayah.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak menekan sebarang pautan SMS yang mencurigakan, tidak berkongsi maklumat perbankan atau maklumat peribadi tanpa membuat semakan melalui saluran rasmi, serta segera melaporkan sebarang SMS yang mencurigakan kepada pihak berkuasa atau penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membolehkan tindakan segera diambil, katanya lagi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img