MANIFESTO pilihan raya masih menjadi dokumen penting untuk menjelaskan hala tuju sesebuah parti, namun ia bukan lagi faktor utama yang menentukan pilihan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ahli akademik berpendapat, pengundi kini lebih cenderung menilai rekod pentadbiran, kemampuan kerajaan melaksanakan janji serta kredibiliti calon berbanding hanya bergantung kepada manifesto yang ditawarkan.
Bagaimana Prof. melihat manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan?

Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani: Saya melihat kedua-dua manifesto kali ini lebih komprehensif dan menyentuh isu yang hampir sama seperti ekonomi, bantuan sara hidup, pendidikan, pendigitalan serta pembangunan sosial kerana itulah yang menjadi keutamaan rakyat ketika ini.
Menariknya, kedua-dua gabungan turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kedudukan Islam di samping menjamin kebebasan penganut agama lain. Selain itu, kedua-duanya turut menampilkan agenda membangunkan Negeri Sembilan sebagai hab ekonomi dan digital, sekali gus menunjukkan fokus terhadap pembangunan jangka panjang negeri.
Apakah kelebihan utama manifesto bagi PH dan BN?
Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani: PH lebih menekankan pembangunan berskala besar yang memberi impak kepada negeri secara keseluruhan, manakala BN lebih memberi tumpuan kepada isu dan keperluan di peringkat tempatan.
Namun, kedua-dua manifesto masih kurang menghuraikan aspek tempoh pelaksanaan, sumber kewangan dan mekanisme bagi memastikan setiap janji dapat direalisasikan.
Sejauh mana manifesto mempengaruhi keputusan pengundi?
Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani: Manifesto sahaja tidak lagi mencukupi untuk mempengaruhi pengundi. Apa yang lebih penting ialah bagaimana calon menterjemahkan kandungan manifesto kepada rakyat ketika berkempen.
Ramai pengundi mungkin tidak membaca manifesto secara terperinci, justeru calon perlu menjelaskan setiap tawaran dalam bahasa yang mudah difahami serta mengaitkannya dengan keperluan masyarakat setempat.
Manifesto manakah lebih meyakinkan dari sudut dasar dan pelaksanaan?

Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Dr. Suria Hani A. Rahman: Kedua-dua manifesto mempunyai kekuatan masing-masing. PH mempunyai kelebihan kerana membawa naratif kesinambungan pentadbiran dan rekod sebagai kerajaan sedia ada, manakala BN pula menawarkan pendekatan yang lebih tertumpu kepada isu tempatan.
Apa yang lebih penting ialah sejauh mana semua janji itu mampu direalisasikan. Pengundi hari ini mahu melihat tempoh pelaksanaan yang jelas, kemampuan kewangan kerajaan serta bukti bahawa setiap tawaran boleh dilaksanakan, bukan sekadar janji di atas kertas.
Apakah perbezaan paling ketara antara manifesto PH dan BN?
Dr. Suria Hani A. Rahman: Perbezaan utama terletak pada skala pendekatan. PH menawarkan agenda pembangunan yang lebih menyeluruh menerusi 10 komitmen termasuk peluang pekerjaan bergaji tinggi, rumah mampu milik dan pembangunan ekonomi negeri.
BN pula lebih memberi tumpuan kepada penyelesaian isu setempat yang dekat dengan kehidupan harian rakyat. Kedua-duanya cuba menawarkan perkara terbaik kepada pengundi, namun PH mempunyai kelebihan daripada segi kesinambungan dasar kerana pernah mentadbir Negeri Sembilan.
Sejauh mana manifesto mempengaruhi keputusan pengundi dalam PRN?
Dr. Suria Hani A. Rahman: Manifesto masih relevan sebagai penyataan dasar dan hala tuju sesebuah parti, namun ia bukan lagi penentu utama dalam membuat pilihan.
Pengundi hari ini, khususnya golongan muda, lebih celik politik dan memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber termasuk media sosial. Mereka bukan sahaja menilai tawaran dalam manifesto, malah turut melihat rekod pentadbiran, prestasi kerajaan, kredibiliti calon serta kemampuan parti menunaikan janji yang dibuat.
Menurut beliau, dalam landskap politik semasa, manifesto perlu disokong dengan pelaksanaan yang meyakinkan kerana pengundi kini lebih kritikal dan mengharapkan hasil yang boleh dinilai sepanjang tempoh pemerintahan.






