MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Datin Seri Rosmah Mansor bagi menyingkirkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang mensabitkannya dalam kes rasuah membabitkan projek tenaga solar untuk sekolah di pedalaman Sarawak, bernilai RM1.25 bilion.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Rosmah tidak memenuhi peruntukan Kaedah 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
“Dengan itu, permohonan semakan ini ditolak,” katanya. Turut bersidang dalam panel sama ialah Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Ravinthran N Paramaguru, lapor BH.
Pada 3 Mac lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdahulu menolak rayuan akhir Rosmah, 74, untuk menyingkirkan Mohamed Zaini (kini hakim Mahkamah Rayuan) selepas mendapati tiada kesilapan undang-undang atau fakta yang cukup serius yang mewajarkan campur tangan panel itu.
Ia juga mendapati Rosmah gagal membuktikan wujud bahaya sebenar bahawa Mohamed Zaini akan membuat keputusan berat sebelah dalam penghakimannya ketika mensabitkan isteri bekas perdana menteri itu.
Sementara itu, Azizah yang membacakan penghakiman berkata, berdasarkan fakta kes, mereka mendapati tiada sebarang kegagalan mahkamah ketika menjalankan fungsi kehakimannya, seperti yang didakwa oleh pemohon.
Beliau berkata, ketiga-tiga hakim yang menganggotai panel (terdahulu) adalah dilantik secara sah, hadir sepenuhnya sepanjang prosiding dan pada setiap masa yang material berupaya sepenuhnya untuk melaksanakan fungsi kehakiman mereka.
Katanya, Rosmah juga menghujahkan bahawa haknya untuk didengar dan untuk mendapatkan prosedur yang adil oleh hakim bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran oleh pihak pendakwaan, telah dinafikan.
“Beliau (Rosmah) berhujah bahawa penghakiman perbicaraan oleh Unit Penyelidikan telah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi tanpa pengetahuan beliau dan peguamnya juga tidak diberi peluang untuk memberikan maklum balas terhadapnya.
“Keadaan ini jelas telah menafikan hak beliau untuk mendapat perbicaraan yang adil dan ia pelanggaran terhadap prinsip keadilan asasi.
“Bagaimanapun, kami mendapati bahawa isu ini menyentuh merit rayuan dan bukannya alasan untuk semakan di bawah Kaedah 137.
“Mahkamah ini dalam apa jua keadaan tidak boleh meletakkan dirinya seolah-olah sedang mendengar rayuan dan memutuskan kes atas kapasiti itu,” katanya.
Rosmah diwakili peguam Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Amer Hamzah Arshad manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.
Sebelum Mohamed Zaini menyampaikan keputusan kes solar itu empat tahun lalu, Rosmah memfailkan permohonan melalui notis usul supaya hakim itu menarik diri atas alasan beliau meragui integritinya susulan insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Rosmah turut memohon perintah bahawa keputusan akhir kes solar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu atau mana-mana tarikh selepas itu, digantung sementara menanti keputusan notis usul berkenaan dan sehingga siasatan terhadap aduan dan laporan polis mengenainya selesai.
Beliau juga memohon perintah bahawa lanjutan daripada penarikan diri hakim terbabit, kes solar berkenaan hendaklah didengar, dibicarakan dan dibicarakan semula serta diputuskan hakim lain.
Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini pada 26 Ogos 2022, beberapa hari sebelum keputusan kes solar itu dijangka diumumkan, berdasarkan alasan pihak pembelaan kononnya penghakiman didakwa bocor’.
Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini mendapati, Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan serentak.
Mahkamah turut mengenakan denda RM970 juta dan hukuman penjara 30 tahun sekiranya gagal membayarnya. Rayuan Rosmah akan didengar Mahkamah Rayuan pada 1 September ini.





