HARGA runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing meningkat 20 sen seliter bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos ini.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.40 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.82 seliter dan diesel tanpa subsidi RM4.62 seliter, berkuat kuasa mulai Khamis.
Menurut kementerian itu, harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu, dengan konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran mendorong harga minyak mentah Brent meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh enam minggu, iaitu USD96 setong.
“Risiko terhadap laluan perdagangan utama termasuk Selat Hormuz dan Laut Merah turut meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.
“Selagi konflik itu belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran dunia,” menurut kenyataan MoF yang dikeluarkan hari ini.
Pada masa sama, MoF memaklumkan simpanan kecemasan petroleum beberapa ekonomi utama dilaporkan semakin menyusut susulan konflik yang tercetus di Asia Barat pada 28 Februari lepas.
Menurut kementerian itu, sekiranya gangguan bekalan berterusan, keperluan negara terbabit mengisi semula stok simpanan masing-masing berpotensi menambah tekanan terhadap harga petroleum dalam jangka sederhana.
Menurut MoF, bekalan bahan api negara setakat ini masih mencukupi, manakala subsidi bersasar terus disalurkan menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95), BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
“Kerajaan MADANI bertekad melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.
“Namun begitu, Kerajaan MADANI turut menyeru rakyat supaya mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat dengan merancang perjalanan secara lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi,” menurut kenyataan itu lagi.






