KEKALAHAN ‘implikasi besar’ terhadap kelangsungan kerajaan persekutuan, kata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.
Loke berkata, walaupun pemimpin Barisan Nasional (BN) berulang kali memberi jaminan kepada PH akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pada awal 2028, perkembangan politik sentiasa boleh berubah.
Sekalipun begitu, katanya, PH akan menumpukan perhatian untuk meraih kemenangan bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan, kerana tiada siapa yang dapat meramalkan apa yang akan terjadi.
Menyifatkan landskap politik sebagai sentiasa berubah, Loke berkata, ahli politik tertentu akan bertindak ‘apabila melihat peluang’.
“… jadi, ini sesuatu yang semestinya kami sedia maklum,” katanya dalam temu bual The Edge.
Beliau juga berkata, kelangsungan politik akhirnya bergantung kepada kekuatan sokongan pengundi.
“Ahli politik hanya faham bahasa kekuatan. Jika tiada sokongan pengundi dan kekuatan politik, sudah tentu kedudukan kita seolah-olah di hujung tanduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi bahawa prestasi cemerlang BN di Negeri Sembilan boleh mencetuskan langkah undi tidak percaya terhadap Kerajaan Perpaduan.
Loke juga enggan menolak kemungkinan PH akan berunding dengan gabungan lain selepas PRN Negeri Sembilan jika gagal memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
“Saya rasa terlalu awal untuk perkatakan hal sebegini sekarang kerana tiada gabungan dan tiada parti yang akan menolak sebarang kemungkinan dalam senario politik Malaysia semasa.
“Setiap parti mahu menang secara bersendirian. Tetapi jika kerusi tidak cukup, maka selepas pilihan raya, kita perlu duduk berunding. Jadi saya rasa ini satu ciri kekal selepas PRU lepas,” katanya.
Mengenai hubungan kerjasama PH dengan BN dalam Kerajaan Perpaduan, Loke yang juga Menteri Pengangkutan mengakui bahawa ia kekal mencabar walaupun kedua-dua parti berkongsi kuasa pada peringkat persekutuan.
Ditanya bagaimana beliau menguruskan hubungan dengan pemimpin UMNO dalam Jemaah Menteri, beliau berseloroh: “Pada Rabu, kami berbaik-baik.”
Beliau berkata, menteri-menteri dari kedua-dua belah pihak perlu mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada urusan mentadbir negara.
“Pada peringkat Jemaah Menteri, kita masih perlu berbaik-baik. Kita semua harus sedar bahawa kita sedang tadbir kerajaan; kita memikul tanggungjawab untuk menguruskan negara,” katanya.






