MOMENTUM sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berada di tahap terbaik walaupun gabungan itu berdepan pelbagai tohmahan dan isu yang dimainkan pihak lawan sepanjang tempoh berkempen.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan Anthony Loke berkata sepanjang tempoh berkenaan, PH telah berusaha menyampaikan penjelasan secara berterusan berhubung pencapaian, rekod perkhidmatan dan tawaran manifesto gabungan itu kepada rakyat.
Beliau berkata percubaan sesetengah pihak yang memainkan sentimen politik fitnah termasuk mengaitkan isu istana dengan DAP bagi menakut-nakutkan pengundi Melayu terbukti meleset selepas pihak istana mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Istana telah menegaskan peranan yang berkecuali dalam politik sekali gus mematahkan fitnah yang cuba dimainkan pihak tertentu… saya rasa hujah dan fitnah sedemikian akhirnya akan memakan diri mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di pekarangan premis Perniagaan Betaria, Seremban malam tadi.
Program itu turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa serta calon-calon PH yang bertanding pada PRN berkenaan.
Dalam pada itu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata PH menyasarkan peratusan keluar mengundi sekitar 75 hingga 80 peratus dan menggesa pengundi supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka.
“Negeri Sembilan terletak berhampiran Lembah Klang, jadi kita berharap peratusan keluar mengundi adalah tinggi.
“Sasaran utama kita adalah mempertahankkan semua kerusi penyandang dan memenangi kerusi tambahan bagi membentuk kerajaan negeri,” kata calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah itu.
Beliau turut menyifatkan sokongan yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti Melayu dan Cina sangat memberangsangkan sepanjang 11 hari berkempen di DUN Chennah.






