Zahid dakwa perbuatan sogok wang makin ketara

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak berkuasa menyiasat segera dakwaan sogokan wang yang didakwa berlaku pada saat-saat akhir kempen PRN Negeri Sembilan.

Katanya, laporan polis telah dibuat berserta bukti dan saksi berhubung dakwaan berkenaan, sambil menegaskan tindakan segera perlu diambil kerana ia melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias, kegiatan itu semakin ketara sejak dua atau tiga hari lalu, dipercayai susulan persaingan sengit menjelang hari pengundian.

“Saya tidak mahu membuat tuduhan, namun dalam keadaan yang sangat terdesak ini, pelbagai taktik digunakan pada saat-saat akhir.

“Laporan polis telah dibuat dengan disertakan bukti serta saksi. Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap perkara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri satu program di Maktab Rendah Sains Mara Gemencheh, Lapor FMT.

Selasa lalu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat dakwaan bahawa pengundi awal PRN Negeri Sembilan disogok dengan wang.

Hari ini, polis membuka satu kertas siasatan terhadap seorang calon PRN Negeri Sembilan di DUN Labu yang didakwa memberi sogokan kepada pengundi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata siasatan itu menyusul laporan dibuat seorang lelaki 72 tahun pada Selasa lalu selepas melihat video di WhatsApp yang mendakwa seorang calon Labu memberi sogokan kepada pengundi.

“Pengadu percaya perbuatan tersebut boleh disifatkan sebagai membeli undi,” katanya sambil menambah dakwaan itu disiasat mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img