HASIL bedah siasat mendapati seorang bayi perempuan baru lahir yang ditemui di dalam mangkuk tandas asrama kolej di Kluang semalam meninggal dunia akibat luka tikaman berganda pada bahagian dada.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata, pengesahan itu dibuat oleh Pakar Patologi Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).
Beliau berkata, pihak polis juga merampas sebilah pisau sepanjang 24cm yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu serta pakaian dengan kesan darah.
Ab Rahaman berkata, hasil siasatan lanjut mendapati bayi tersebut dan satu lagi bayi kembar yang masih hidup merupakan hasil hubungan seks luar nikah pasangan kekasih yang juga pelajar kolej yang ditahan.
“Berdasarkan soal siasat, suspek lelaki mengaku memberikan wang RM450 kepada teman wanitanya untuk menggugurkan kandungan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Terdahulu, Ab Rahaman dilaporkan berkata, polis menahan sepasang pelajar kolej, masing-masing berusia 19 tahun, bagi membantu siasatan kes bunuh bayi perempuan yang ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di sebuah rumah sewa di Taman Setia Mutiara, semalam.
Menurutnya, bayi itu ditemukan oleh tenaga pengajar di dalam mangkuk tandas rumah teres yang dijadikan asrama pelajar kolej itu.
Pelajar terbabit kemudian melahirkan seorang lagi bayi perempuan di hospital itu selepas doktor mendapati terdapat satu lagi bayi kembar masih berada di dalam kandungannya.
Ab Rahaman berkata, pelajar lelaki terbabit direman seminggu hingga 5 Ogos, sementara kekasihnya masih menerima rawatan di HEBHK.






