SEORANG wanita berusia 46 tahun bersama dua anak perempuannya berusia 11 dan 12 tahun ditemukan maut dalam sebuah bilik tidur di rumah mereka di Bandar Baru Tambun, di Ipoh malam tadi.
Polis turut menemukan sebuah bekas yang dipercayai mengandungi sisa arang yang dibakar di dalam bilik berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.10 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik polis dan pakar patologi forensik mendapati tiada kecederaan atau unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa.
Katanya, kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), walaupun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Proses bedah siasat dijadualkan untuk dijalankan hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Najib turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih ketika siasatan masih berjalan.
“Kami menasihati orang ramai supaya mengelak daripada membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai sepenuhnya,” katanya.






