Bot nelayan musnah terbakar, pemilik melecur pada pipi, lengan

SEBUAH bot nelayan musnah dalam kebakaran di belakang sebuah premis perniagaan di Miri, petang semalam, manakala pemiliknya mengalami kecederaan melecur pada bahagian pipi dan lengan kanan ketika cuba memadamkan api.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, kebakaran turut memusnahkan kira-kira 10,000 liter diesel yang disimpan di dalam tangki bot berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.30 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dikejarkan ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pada jam 5.42 petang, komander operasi mendapati sebuah bot nelayan berukuran kira-kira 18 meter panjang dan empat meter lebar terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah semburan buih (foam) bagi membentuk lapisan di permukaan bahan api yang terbakar.

“Operasi menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 30 meter, satu nozel, pam jentera serta sumber air daripada tangki jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi turut dibantu anggota dari BBP Lutong dengan keseluruhan 18 tong buih pemadam digunakan bagi mengawal kebakaran.

Katanya, pasukan bomba turut menggunakan circular disc saw untuk memecahkan lantai bot bagi membolehkan buih pemadam memenuhi keseluruhan ruang tangki diesel di bahagian perut bot yang mempunyai empat kompartmen.

“Teknik total flooding menggunakan buih pemadam dilaksanakan bagi memastikan keseluruhan permukaan bahan api diselaputi sekali gus mengelakkan api marak semula,” katanya.

Menurutnya, pemilik bot berusia 56 tahun dibawa oleh ahli keluarganya ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan melecur tahap pertama pada pipi dan lengan kanan.

Beliau berkata, tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke bot dan kapal lain serta rumah pekerja yang terletak berhampiran.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img