Juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta disyaki seludup dadah ekstasi

SEORANG juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis MDMA (ekstasi) bersama sejumlah kecil syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, malam Selasa lalu.

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan sejurus tiba dari Kuala Lumpur selepas pihak kastam Indonesia mengesan imej mencurigakan pada bagasi kru menerusi pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tangkapan berkenaan.

“Saya sahkan tangkapan ini. Pihak PDRM telah dimaklumkan.

“Suspek ditahan di sana dan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Buletin TV3.

Difahamkan, pemeriksaan lanjut ke atas bagasi suspek menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dengan anggaran berat kira-kira 25kg serta 2.7 gram syabu.

Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif methamphetamine, ekstasi dan kokain.

Sementara itu, Pengarah Direktorat Tindak Pidana Narkoba Bareskrim Polri, Brigadir Jeneral Eko Hadi Santoso dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah bagi rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Menurut beliau, suspek dijanjikan bayaran kira-kira RM50,000 oleh seorang dalang di Malaysia sebagai upah membawa bekalan dadah itu ke Jakarta.

Katanya, sebaik tiba di Indonesia, suspek diarahkan mendaftar masuk ke sebuah hotel sebelum dihubungi anggota sindiket bagi menyerahkan bagasi yang mengandungi dadah tersebut.

“Siasatan turut mendedahkan ini bukan kali pertama suspek terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah. Suspek mengaku sudah tiga kali menjadi kurier sindiket, termasuk menghantar syabu ke Sabah serta menyeludup kira-kira tujuh kilogram syabu ke Jakarta dalam operasi terdahulu.

“Suspek kini ditahan di Pusat Tahanan Bareskrim Polri bagi membantu siasatan, termasuk mengesan rangkaian sindiket yang dipercayai beroperasi merentasi Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Mengikut Undang-Undang Republik Indonesia No. 35 Tahun 2009 mengenai Narkotika, kesalahan menyeludup dadah dalam kuantiti besar boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati jika disabitkan kesalahan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img