PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kestabilan politik perlu diwujudkan di Negeri Sembilan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu selesai diumumkan esok.
Katanya, kestabilan politik penting bagi memastikan sesebuah negeri dapat terus membangun dan maju, seperti yang dibuktikan pentadbiran BN di Johor.
“Untuk Negeri Sembilan sebagaiman apa berlaku di Johor, apa pun analisis dibuat oleh para penganalisis politik, sama ada BN, atau PH atau mana mana gabungan akan membentuk kerajaan.
“Hakikatnya kestabilan politik di Negeri Sembilan hendak diwujudkan siapa-siapa sahaja mendapat perkenan tuanku mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar mesti dapat sokongan semua. Kita tidak mahu rumah siap, pahat berbunyi,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya BN diberi mandat untuk menerajui kerajaan negeri, parti itu komited menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri maju.
“Kita nak Negeri Sembilan muncul negeri maju, berikan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dan meningkatkan kuasa beli di Negeri Sembilan.
“Kita juga mahu kestabilan politik di Negeri Sembilan diwujudkan selepas keputusan pilihanraya, mandat daripada rakyat diberikan secara rasminya mana mana parti gabungan yang akan bentuk kerajaan,”katanya di Bahau hari ini, lapor Buletin TV3.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perbezaan ideologi dan pandangan politik di peringkat negeri serta nasional perlu ditangani secara terbuka dan matang.
Katanya, PRN Negeri Sembilan memperlihatkan dinamika politik negara yang semakin matang, dengan keputusan rakyat perlu dihormati oleh semua pihak.
“Yang penting ialah kita harus lihat apa berlaku di negeri dan peringkat nasional adalah sesuatu berbeza. Ini kedinamikan politik Malaysia semakin matang, dan ia diperlukan rakya. Rakyat boleh berbeda pandangan tapi kita pemimpin di pusat dan negeri harus berfikiran terbuka dan berlapang dada.
“Menentukan bahawa mana-mana gabungan atau percantuman diwujudkan sesebuah kerajaan di negeri maka ianya dihormati sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua pihak kembali berdamai selepas berakhirnya kempen PRN Negeri Sembilan, beliau menyambut baik seruan Perdana Menteri itu.
Ahmad Zahid berkata, semua pemimpin perlu berlapang dada dan menunjukkan kematangan dalam berpolitik meskipun terpaksa bertembung dalam pilihan raya.
“Kita tahu Perdana Menteri mengatakan selepas ini kita hendaklah berdamai semula merangkul semula hubungan diantara kita, kerana di Putrajaya kita berada di dalam kerajaan sama, tapi di Negeri Sembilan dan Johor kita terpaksa di gelanggang yang berbeza.
“Ini unik dan indah erti demokrasi di Malaysia jaga kepentingan nasional, kita mesti bersama-sama terus memantapkan Kerajaan Perpaduan dan komitmen kita menyokong PM Anwar sebagai PM sehingga akhir penggal kita kotakan dan kita laksanakan,” katanya.






