Dua remaja maut SUV mewah rempuh motosikal

DUA remaja maut selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah merempuh sebuah motosikal di Kilometer 150, Jalan Kuantan-Johor Bahru, berhampiran Teluk Gading, di Rompin hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi ketika SUV dan motosikal terlibat masing-masing dalam perjalanan dari arah Teluk Gading menuju ke Kuantan.

Katanya,  siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kenderaan dipandu seorang remaja itu hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang motosikal berkenaan.

“Akibat kemalangan kenderaan itu terbabas ke dalam parit di kiri jalan dan penunggang motosikal tercampak sejauh 26 meter. Kedua-dua mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu SUV yang maut dalam nahas itu dikenal pasti sebagai Khor Ho An, 18, dari Mersing, Johor, manakala penunggang motosikal, Muhammad Darwish Fitri Ramli, 16, berasal dari Kampung Sungai Meranti.

Sharif Shai berkata, kenderaan terlibat adalah milik bapa pemandu remaja berkenaan dan kedua-dua mangsa didapati tidak mempunyai lesen memandu.

“Polis akan mendapatkan keterangan waris kedua-dua mangsa dan mengambil sampel darah, ujian air kencing serta melakukan ujian toksikologi terhadap pemandu SUV terlibat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img