SEAWAL pembukaan pusat mengundi, orang ramai mula hadir bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dengan harapan kerajaan yang dipilih mampu membawa kemajuan serta kesejahteraan kepada negeri ini.
Pensyarah, Sapora Sipon, 63, sanggup pulang dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah semata-mata untuk mengundi di Negeri Sembilan.
Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, setiap individu perlu menghargai hak mengundi dan tidak menjadikan jarak sebagai alasan untuk tidak hadir ke pusat pengundian.
“Saya sebenarnya datang dari jauh, daripada UniSHAMS di Kedah semata-mata nak mengundi.
“Kalau saya yang datang dari jauh boleh balik mengundi, apatah lagi mereka yang tinggal berdekatan pusat mengundi di Sikamat ini,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Sikamat, hari ini.
Sementara itu, kakitangan awam, Wirda Ahmad Amir, 27, berharap mana-mana pihak yang diberikan mandat oleh rakyat akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.
“Siapa-siapa sahaja yang memerintah nanti, saya harap mereka lakukan yang terbaik untuk Negeri Sembilan,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Mohd. Hatta Abu Dardak, 57, beliau berharap calon yang dipilih mampu meneruskan kepimpinan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.
“Harapan saya, calon yang kita undi berjaya dan dapat memimpin serta membantu semua rakyat, terutama di kawasan ini,” katanya.
Seorang lagi pengundi, Murugan, 49, pula berharap Negeri Sembilan terus mencatat kemajuan dan menjadi antara negeri terbaik di Malaysia.
“Harapan saya, kalau boleh Negeri Sembilan menjadi negeri paling maju di Malaysia,” katanya.
Tinjauan di beberapa pusat mengundi sekitar Seremban mendapati proses pengundian berjalan lancar dengan pengundi mula hadir sejak awal pagi bagi mengelakkan kesesakan selain memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan selesa.






