DUA lelaki dipercayai baru selesai memuatkan kira-kira dua tan sawit ke dalam lori ditahan polis, kurang lima jam selepas dikesan berada di sebuah kebun sawit di Batu 21, Bukit Katong Rim di Jasin malam tadi.
Suspek berusia 24 dan 22 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan kerjasama anggota Balai Polis Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus ladang berusia 58 tahun selepas dimaklumkan pekerjanya mengenai kejadian itu kira-kira jam 7.45 malam.
Menurutnya, pekerja terbabit membuat pemerhatian dari jarak jauh sebelum mendapati sebuah lori Isuzu tidak dikenali berwarna kuning berada di kawasan kebun berkenaan yang berkeluasan kira-kira 8.1 hektar.
“Suspek dipercayai memasuki kawasan kebun tanpa kebenaran pemilik sebelum mengambil buah sawit dan memuatkannya ke dalam lori. Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota BSJ IPD Jasin bersama anggota Balai Polis Jasin menjalankan serbuan di lokasi sebelum menahan dua lelaki yang disyaki terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, polis merampas lori berkenaan yang mengandungi kira-kira dua tan sawit dianggarkan bernilai lebih RM9,360 mengikut harga pasaran semasa komoditi itu.
“Turut dirampas dua batang besi pencucuk sawit dan sebilah sabit pemotong sawit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
“Siasatan awal dan pemerhatian di lokasi turut mengesahkan terdapat aktiviti mengambil buah kelapa sawit di pokok yang dipercayai dilakukan tanpa kebenaran pemilik,” katanya.
Menurutnya, semakan mendapati lori yang dirampas berdaftar atas nama sebuah syarikat milik suspek pertama.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan keputusan ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah. Kedua-dua suspek direman tiga hari sehingga 3 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut terbabit dalam kegiatan mencuri sawit itu,” katanya.






