POLIS menahan seorang lelaki semalam bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran tular dalam media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Perlis berkaitan penganugerahan pingat kebesaran negeri.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan susulan enam laporan polis yang diterima pihaknya semalamberhubung hantaran berkenaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau denda sehingga RM50,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis memandang serius perkara itu kerana ia menyentuh sensitiviti institusi diraja Perlis serta berpotensi menimbulkan salah faham dan menggugat keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, Muhammad menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen, spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung isu berkenaan.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batasan, melanggar undang-undang sedia ada serta cuba mencetuskan provokasi atau menggugat keamanan negara,” katanya.
Terdahulu, pada jam 11.36 malam kelmarin, tular satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama ‘Mohd Syafeeq’ yang mempertikaikan pengurniaan pingat kebesaran kepada Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil.






