
“Marilah kita bersama-sama mencipta sejarah.”
Laungan yang bergema sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akhirnya menjadi kenyataan apabila gelombang sokongan Melayu-Islam yang dipacu kerjasama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta beberapa parti lain berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
PRN Negeri Sembilan 2026 bukan sekadar menyaksikan pertukaran kerajaan negeri, malah menjadi bukti bahawa gelombang Melayu-Islam terus muncul sebagai faktor paling dominan dalam membentuk corak pengundian, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.
Gelombang itu bukan sahaja menamatkan pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar, malah turut menyaksikan Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kehilangan kerusi Chennah dihempas gelombang biru.
Perkembangan itu selari dengan dapatan ILHAM Centre sebelum ini yang merumuskan bahawa naratif politik berasaskan identiti Melayu-Islam lebih berkesan mempengaruhi pengundi berbanding naratif prestasi pentadbiran dan pencapaian kerajaan negeri.
Kerjasama BN-PN jelas berjaya mengurangkan perpecahan undi Melayu. Persefahaman di peringkat akar umbi membolehkan sokongan pengundi Melayu disatukan dengan lebih berkesan berbanding pilihan raya terdahulu.
Formula satu lawan satu pula mengurangkan kebocoran undi, sekali gus memberikan kelebihan besar kepada gabungan itu di kerusi majoriti Melayu dan kerusi campuran.
Hasilnya, BN-PN berjaya menguasai 24 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga yang membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri dengan mandat yang kukuh.
Lebih signifikan, gelombang tersebut tidak lagi terbatas di kawasan luar bandar, sebaliknya menembusi beberapa kerusi campuran dan separa bandar seperti Chennah, Klawang, Sikamat, Ampangan dan Pilah. Perkembangan itu menggambarkan perubahan sentimen yang lebih menyeluruh merentasi demografi dan kawasan.
Kekalahan Loke seorang pemimpin kanan Kabinet dan tokoh utama DAP, menjadi simbol bahawa perubahan sokongan pengundi bukan lagi bersifat setempat, sebaliknya telah memberi kesan kepada kepimpinan nasional.
Dalam masa yang sama, Aminuddin yang sebelum ini mempunyai kadar penerimaan peribadi yang baik berdasarkan kajian ILHAM Centre juga gagal mempertahankan kedudukannya. Ia menunjukkan bahawa kekuatan personaliti calon tidak lagi mencukupi apabila berdepan perubahan sentimen politik yang lebih besar.
Kajian ILHAM Centre turut mengenal pasti beberapa faktor lain yang memperkukuh perubahan tersebut.
Antaranya ialah peralihan sebahagian pengundi Cina yang tidak lagi memberikan sokongan automatik kepada PH, kecenderungan sebahagian pengundi India yang semakin terbuka membuat pilihan berdasarkan isu semasa, serta pengundi muda yang lebih cenderung membuat keputusan berasaskan parti dan naratif politik berbanding personaliti calon.
PRN Negeri Sembilan 2026 akan dikenang sebagai antara pilihan raya negeri paling signifikan sejak PRU15 kerana membawa beberapa implikasi besar.






