HIMPUNAN RXZ Members 8.0 yang menghimpunkan kira-kira 160,000 pengunjung dari seluruh negara berlangsung dalam keadaan terkawal apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu hanya merekodkan empat kes jenayah sepanjang penganjuran program itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding enam kes jenayah yang direkodkan ketika Himpunan RXZ Members 7.0 tahun lalu.
Menurutnya, daripada empat kes berkenaan, hanya satu membabitkan kehilangan sebuah motosikal Yamaha 125Z yang dilaporkan di luar Litar Permotoran Gong Badak.
“Secara keseluruhannya, aspek keselamatan dan ketenteraman awam berada dalam keadaan terkawal sepanjang himpunan berlangsung hasil kerjasama semua pihak termasuk peserta dan agensi berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini, lapor Buletin TV3.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah kemalangan jalan raya meningkat kepada 29 kes berbanding 11 kes pada penganjuran tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, lima kemalangan maut membabitkan lima mangsa dilaporkan berbanding dua kematian pada himpunan RXZ Members 7.0.
“Empat mangsa yang maut ialah lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 48 tahun.
“Dua kemalangan maut membabitkan motosikal RXZ di Kuala Terengganu dan Kemaman, manakala tiga lagi melibatkan motosikal Yamaha 125, Yamaha Y15 dan Honda Vario di Kemaman serta Dungun,” katanya.
Dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri, Mohd. Khairi berkata, polis mengeluarkan sebanyak 1,850 saman atas pelbagai kesalahan trafik selain menyita 222 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial pula hanya merekodkan satu kes penipuan membabitkan tawaran inap desa (homestay) tidak wujud di Wakaf Tengah, Kuala Nerus dengan kerugian RM1,200.
Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menjalankan 15 pemeriksaan ke atas individu dan lokasi disyaki sepanjang program berkenaan.
“Hasil pemeriksaan itu, polis membuka lima kertas siasatan dan membuat tiga tangkapan membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu turut menahan enam individu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warga Singapura berusia 22 tahun.
Beliau berkata, kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, Mohd. Khairi menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat demi keselamatan semua pihak.






