SEORANG lelaki maut selepas tersepit di bawah sebuah lori 10 tan dalam kemalangan membabitkan pejalan kaki di jejambat Jalan Bukit Tengah di Bukit Mertajam, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan jenis Hino dengan seorang pejalan kaki.
“Mangsa didapati tersepit di bawah lori, manakala pemandu lori berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berat itu.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan lapan anggota bomba bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Operasi turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.18 pagi.






