SEORANG wanita maut selepas tersepit apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu anak lelakinya terbabas sebelum merempuh penghadang besi jalan di Kilometer 8, Jalan Batu Pengasah, Durian Burung di Padang Terap, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Mohd. Anuar Junoh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, manakala anak lelakinya yang berusia 21 tahun cedera.
“Siasatan awal mendapati MPV berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kuala Nerang menghala ke Durian Burung.
“Bagaimanapun, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan lalu merempuh penghadang besi.
“Akibat pelanggaran itu, ibu kepada pemandu yang berada di tempat duduk penumpang hadapan tersepit dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di tempat kejadian.
Katanya, pemandu MPV yang juga anak mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Zulhusni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.44 pagi sebelum sebuah jentera bersama anggota dikejarkan ke lokasi.
Katanya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohamad Mustafa Md. Adnan mendapati mangsa tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pasukan KKM.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pembersihan serpihan kaca serta tumpahan minyak di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.25 pagi,” katanya.






