Akibat cemburu, tukang masak didakwa pukul bakal tunang

SEORANG tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan mencederakan bakal tunangnya menggunakan topi keledar kerana dipercayai cemburu wanita itu keluar bersama lelaki lain.

Tertuduh, Amyrul Fitri Rahshidi Rosman, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bakal tunangnya yang juga berusia 22 tahun menggunakan topi keledar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pasar Awam Batu Pahat di sini pada jam 3.30 petang, 30 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 4 hari bulan.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan supaya tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 28 September sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img