SEORANG lelaki sanggup menempuh perjalanan lebih 200 kilometer (km) dari negeri lain semata-mata untuk bertemu teman wanitanya sebelum pasangan itu dicekup berkhalwat di sebuah hotel di bandar Johor Bharu, awal pagi Sabtu.
Dalam serbuan kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan pasangan berusia lingkungan 20-an dan 30-an yang dipercayai menginap bersama tanpa sebarang ikatan sah.
JAINJ dalam kenyataan berkata, ketika serbuan dilakukan, pintu bilik hotel dibuka oleh wanita berusia 20-an itu yang memakai kain batik dan baju-T.
“Selepas memperkenalkan diri, penguat kuasa masuk ke dalam bilik untuk membuat pemeriksaan. Ketika itu tiada sesiapa ditemui, namun terdapat seluar dan baju lelaki di atas kerusi.
“Pada masa sama, pintu tandas didapati tertutup. Apabila penguat kuasa mengetuk dan menolak pintu itu, terdengar suara seorang lelaki sebelum dia keluar dengan hanya memakai seluar pendek tanpa berbaju,” katanya.
Menurut kenyataan itu, hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan suami isteri dan masing-masing masih bujang.
Katanya, lelaki berusia 30-an itu bekerja di negeri lain dan datang ke daerah ini atas urusan kerja sebelum membawa wanita terbabit sebagai peneman sepanjang tempoh tiga hari.
“Siasatan mendapati mereka datang bersama-sama menaiki sebuah kereta dan menginap di hotel berkenaan,” katanya.
Pasangan terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan dijangka didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
JAINJ turut menasihati pasangan berkenaan supaya segera melangsungkan pernikahan sekiranya benar-benar berhasrat membina kehidupan bersama bagi mengelakkan perbuatan maksiat berulang.






