POLIS Vietnam menahan 65 individu termasuk 10 warga asing, antaranya empat rakyat Malaysia kerana disyaki terbabit dalam sindiket mengedar rokok elektronik (vape) bercampur etomidate.
Etomidate adalah bahan bius yang digunakan dalam bidang perubatan, namun kini semakin disalahgunakan apabila dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik.
Vietnam mengklasifikasikan bahan itu sebagai narkotik pada awal 2026. Mereka yang ditahan turut membabitkan empat rakyat Singapura dan dua warga Taiwan.
Polis mendapati sindiket itu menghasilkan produk dikenali sebagai Kpod dengan mencampurkan etomidate ke dalam cecair rokok elektronik sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan dan warga asing.
Produk berkenaan boleh menyebabkan pengguna berkelakuan seperti ‘zombi’, selain berisiko mengalami sawan, gangguan psikologi, mengantuk, hilang kesedaran dan masalah pernafasan.
Siasatan yang bermula pada awal Julai lalu membawa kepada penahanan rakyat Malaysia, Hoo Jia How, 30, dan rakyat Singapura, Melvin Tan Junjie, 30, yang dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket.
Kedua-duanya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Jalan Cong Quynh, Cau Ong Lanh dengan polis merampas 1,331 kartrij rokok elektronik serta 140 mililiter cecair mengandungi etomidate.
Polis kemudian menahan seorang lagi rakyat Singapura, Oh Jang Fong, yang didakwa membekalkan cecair etomidate untuk menghasilkan Kpod.
Siasatan mendapati produk itu diedarkan melalui ejen tempatan kepada pelanggan Vietnam dan warga asing, dengan sebahagian pembeli dipercayai menjual semula atau menggunakannya untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.
Serbuan susulan membawa kepada penahanan keseluruhan 65 individu serta rampasan hampir 2,000 kartrij rokok elektronik bercampur dadah.
Polis memaklumkan sindiket itu mempromosikan Kpod dengan dakwaan mengelirukan kononnya tidak dapat dikesan melalui ujian dadah dan bukan narkotik bagi memberi gambaran produk itu selamat digunakan.






