POLIS Kontinjen Sabah merampas hampir empat tan dadah bernilai keseluruhan RM18 juta dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini menerusi 12 serbuan Ops Bayu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, semua suspek yang ditahan dalam Ops Bayu 1 hingga Ops Bayu 9 juga telah dituduh di mahkamah.
“Bagi Ops Bayu 10, 11 dan 12 pula, semua suspek setakat ini masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna hari ini.
Dalam pada itu, Jauteh berkata, polis merampas 74.86 kilogram (kg) dadah disyaki syabu dalam Ops Bayu 10 di Tawau pada 12 Julai lalu manakala 254.35 kg lagi dadah berkenaan dirampas dalam Ops Bayu 11 di Semporna 13 Julai lepas.
“Dalam Ops Bayu 10 di Tawau itu, polis menemukan empat beg sukan berisi 70 bungkusan dadah di dalam sebuah kereta Proton Saga di kawasan parkir Jalan Tun Hamdan. Susulan itu, dua lelaki serta dua wanita telah ditahan manakala wang tunai berjumlah RM12,674 serta barang kemas bernilai RM9,700 turut dirampas.
“Bagi Ops Bayu 11 di Semporna, polis merampas 24 beg pakaian berisi 240 bungkusan dadah di dalam sebuah van Toyota Hiace di sebuah ladang kelapa sawit dan susulan itu, sepasang suami isteri ditahan manakala seorang lelaki masih diburu,” katanya.
Jauteh berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk dihantar ke luar negara dan siasatan awal turut mendapati ia dibawa masuk melalui Jalan Merapok, Sipitang.
Menurutnya, Ops Bayu 12 yang dilaksanakan di Sipitang pada 30 Julai lalu pula membawa kepada rampasan tiga kg syabu dengan tiga individu ditahan.
“Kita mengesyaki dadah ini datang dari kawasan segi tiga emas iaitu Thailand, Myanmar dan Laos,” katanya.
Jauteh berkata, pelbagai risikan dilaksanakan termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah bagi membanteras penyeludupan dadah ke negeri itu.






