Malaysia, Kemboja perkukuh kerjasama ekonomi, AI, keselamatan makanan – PM

MALAYSIA dan Kemboja komited memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor utama termasuk perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), industri halal, keselamatan makanan serta pembangunan modal insan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

DATUK Seri Anwar Ibrahim (tengah) menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Lawatan ini sempena Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia-Kemboja yang dijadual berlangsung esok.

“Ia juga menjadi landasan penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Kemboja pada 2027, sekali gus mencerminkan hubungan erat persahabatan serta perkongsian strategik yang berkekalan antara kedua-dua negara.

“Pertemuan hari ini menjadi ruang untuk kedua-dua negara terus memperkasa kerjasama strategik merangkumi perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), industri halal, keselamatan makanan serta pembangunan modal insan, di samping memperkukuh kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

DATUK Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata, sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia dan Kemboja berkongsi tanggungjawab untuk memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serantau serta merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 demi masa depan yang lebih makmur kepada seluruh rakyat di rantau ini.

“Moga hubungan Malaysia-Kemboja terus diperkukuh, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img